Upaya menerbitkan buku Takmilah, Semiotik, Intertekstualiti dalam Kaya Sastera Melayu dilihat sebagai satu jurus membaca semula teks sastera Melayu menerusi tiga jalan yang ditumpukan iaitu Takmilah, Semiotik dan Intertekstualiti. Ia ternyata menawarkan kejelasan jurus masing-masing apabila beberapa contoh turut dibawa masuk dalam kajian. Tindakan ini diharapkan dapat menyangga pembaca tegar dalam genre kritikan kesusasteraan Melayu untuk lebih memahami konsep atau dasar sesebuah pendekatan yang digunakan. Misalnya mahasiswa dalam bidang kesusasteraan khususnya kritikan, dapat melihat bagaimana contoh penggunaan konsep, prinsip atau kaedah dalam sesebuah karya yang ditelaah. Semoga buku ini menawarkan manfaat kepada semua khalayak pembaca untuk dihadam dengan lebih rencam, dan menguak jendela kefahaman dengan lebih akrab.