Penerangan tentang ciri bahasa Arab menampakkan ia jauh berbeza daripada ciri bahasa Melayu. Hal ini timbul kerana kedua-dua bahasa ini datang daripada dua rumpun bahasa yang berlainan. Dengan memahami ciri yang dibincangkan, pembaca Arab dan Melayu dapat membuat perbandingan antara kedua-dua bahasa dan seterusnya memberi penekanan kepada aspek yang lebih rumit untuk diulas dengan lebih jelas. Pembelajaran dan penguasaan sesuatu bahasa memerlukan tempoh masa yang berbeza bergantung pada ciri yang ada pada bahasa itu. Buku ini dapat membantu komuniti Arab dan pelajar Arab yang melanjutkan pengajian di sini untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dalam bahasa Melayu, para pelajar Malaysia yang mengkaji aspek perbezaan antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu serta rakyat Malaysia yang berminat mempelajari bahasa Arab. Dengan ini mereka dapat memberi penekanan kepada aspek perbezaan yang memerlukan perhatian yang lebih untuk menguasai bahasa Arab.

